Monday, May 17, 2021

Teknik bina ayat menggunakan kata kerja tanpa imbuhan awalan

Terdapat tiga teknik bina ayat menggunakan kata kerja yang tidak menerima imbuhan awalan.

TEKNIK PERTAMA: AYAT PASIF MENGGUNAKAN KATA GANTI NAMA DIRI PERTAMA DAN KEDUA. LIHAT CONTOH DI BAWAH:

Ayat Aktif (Kata Ganti Nama Diri Pertama/Kedua)

  1. Saya perlu mematuhi undang-undang negara.
  2. Kita mesti menjaga kesihatan dengan melakukan senaman dan makan makanan berkhasiat.
  3. Kita mesti menumpukan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar.
  4. Kita mesti menghormati para guru yang berjasa mendidik kita.
  5. Kalian perlu memeriksa semula jawapan selepas menjawab soalan ujian itu.
Ayat Pasif (Kata Ganti Nama Diri Pertama/Kedua)
  1. Undang-undang negara perlu saya patuhi.
  2. Kesihatan mesti kita jaga dengan melakukan senaman dan makan makanan berkhasiat.
  3. Sepenuh perhatian mesti kita tumpukan ketika guru sedang mengajar.
  4. Para guru yang berjasa mendidik kita mesti kita hormati.
  5. Jawapan perlu kalian periksa semula selepas menjawab soalan ujian itu.

TEKNIK KEDUA: AYAT PASIF MENGGUNAKAN KATA BANTU PASIF 'KENA'. LIHAT CONTOH DI BAWAH:

kena pukul = dipukul
kena bom = dibom
kena buang = dibuang
kena culik = diculik
kena tangkap = ditangkap

Bentuk Ayat Pasif biasa yg menggunakan Kata Ganti Nama Diri Ketiga:

  1. Budak itu dipukul oleh samseng jalanan.
  2. Penduduk Gaza dibom oleh tentera Israel.
  3. Seorang kanak-kanak diculik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
  4. Pendatang asing itu ditangkap oleh pegawai imegresen.
Ayat Pasif menggunakan Kata Bantu Pasif 'kena":
  1. Budak itu kena pukul oleh samseng jalanan.
  2. Penduduk Gaza kena bom oleh tentera Israel.
  3. Seorang kanak-kanak kena culik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
  4. Pendatang asing itu kena tangkap oleh pegawau imegresen.
TEKNIK KETIGA: GUNAKAN KATA PERINTAH UNTUK BINA AYAT PERINTAH. LIHAT CONTOH DI BAWAH.

Nota ringkas - Kata Kerja yang hadir selepas Kata Perintah tidak memerlukan awalan MeN-. Oleh itu, binaan ayat perintah boleh digunakan sebagai salah satu teknik untuk membina ayat menggunakan Kata Kerja yang tidak mempunyai imbuhan awalan MeN-.
  1. Tolong jaga barang-barang ini supaya tidak dicuri.
  2. Sila tutup pintu itu dengan rapat.
  3. Jemput masuk ke dalam rumah.
  4. Minta ambilkan segelas air untuk saya.
  5. Jangan biarkan air itu bertakung.
Semoga bermanfaat kepada semua murid.

Disediakan oleh:
Cikgu Naim Zaini
017 321 5630
Bahasa Melayu Home Tuition

No comments:

Post a Comment

TATABAHASA